Thursday, July 21, 2011

KAKI GATAL

tempoh hari kaki kiri aku kata tak mahu.. tak mahu lagi jalan tanpa teman. Dia cakap bosan asyik jalan dengan kaki kanan saja. Dia teringin nak berdepan dengan kaki kiri lain, face to face, katanya. Kaki kanan pula, senyap tanpa suara. Tapi dalam hatinya, aku tahu, dia juga mahu begitu Cuma dia tak berani nak berkata-kata. Takut aku terluka, barangkali.

Jadi aku bawa kaki aku berjalan-jalan. Bermacam kaki aku jumpa. Kaki auta, kaki pau, kaki bangku, kaki makan, kaki bebal, kaki pukul, ahhh.. macam-macam kaki. Dengan harapan, kaki aku akan kata, okay, lepas ini tak mahu lagi meminta untuk berjumpa dengan kaki-kaki lain. Tapi, harapan aku meleset, sama sekali. Kaki kiri aku tetap memberontak. Dia cakap, dalam semua kaki yang dijumpa tadi tu, tiada satu kaki pun yang ada chemistry dengan kaki-kaki aku.

Lalu, aku duduk dan marah dia. Aku cakap kau jangan nak macam-macam. Kaki kiri aku memekak kemudiannya. Dia kata itu, dia kata ini. Lalu, aku sarungkan stokin yang aku lupa basuh untuk diamkan dia.

Tiba-tiba, kaki kanan aku yang tadinya berhibernasi itu, berlunjur. Kemudian, dia gedik-gedikkan kaki seperti hendak menari. Dan dia cakap dengan nada perlahan, pandang depan, pandang depan. dengan muka penuh hairan, aku pandang depan. Yang ada sepasang kaki lelaki, maksud aku, milik seorang lelaki, besarnya lebih kurang kaki aku, bersepatu Vans biru lusuh, ada embroidery corak dibelakangnya. Kecil, kering betisnya.

Aku panggung muka penuh tanda tanya itu dan aku lihat kau. Kau tersenyum dan tanya, boleh duduk disebelah? kaki kanan I kata dia ada chemistry dengan kaki kiri you. Dan sejak dari itu, kaki aku tidak lagi merungut.

No comments:

Post a Comment